Wednesday, April 22, 2015

Kertas yang paling mahal

Dulu, ralit-ralit belek duit kertas aku terfikir, kenapa orang anggap duit bernilai sangat. Cuba fikir pakai logik bodoh atau logik tinggi tahap Vulcan tidakkah pelik kita tengok orang sanggup menukar barang dengan dua tiga keping kertas berwarna? Ambil barang mahal dari kedai dan kita cuma bagi tauke kedai kertas saja.

Orang Cina ialah antara yang pertama menggunakan duit kertas. Kalau kamu orang tengok filem-filem Stephen Chow masa dia nak rasuah pegawai-pegawai Dinasti Ching tu, perasan tak kertas banyak-banyak yang dia ambik dari dalam lengan baju dia. Tapi itu macam surat pajak yang boleh tukar di bank kepada duit tahil ketul-ketul tu.

Di mana sebenarnya terletak nilai kertas-kertas ni? Pada huruf 'ta'nya kah? Sebab ada gambar Agong? Sebab ada bayang kepala firaun? Sebab ada gambar Queen? Sebab ada sain Gubenor? Sebab ada tulis nama Bank Negara? Sebab ada tulis nombor yang menunjukan nilai? Sebab ada ayat 'wang kertas ini sah diperlakukan dengan nilai'? Atau ada tulis 'this note is legal tender for all debts, public and private'?

Dulu aku ingat duit ni nilainya terletak pada simpanan emas setiap negara. Maka aku pun terbayanglah kalau macam tu UK banyak gila emas yang dia ada sebab duit dia mahal. Logik juga sebab dulu dia empayar besar, dah sedut emas di serata dunia. Kemudian aku fikir, negara-negara kecik pun ada emas jugakkah? Atau, kalau macam ni keringlah emas bumi tak pun habislah orang pergi korek atau kikis tinggalan-tinggalan purba yang banyak buat dari emas padu demi meninggi duit negara sendiri.

Masa orang Muar tengah obses dengan ekonomi, barulah aku tahu bahawa nilai duit kertas ni sebenarnya terletak atas kepercayaan orang saja. Sebab semua orang percaya kertas-kertas berwarna dan bergambar itu ada nilai. Semudah itu saja. Sesebuah negara pula boleh mencetak wang sesuka hati. Kalau perlu cetak banyak-banyak yang boleh membawa kepada inflasi. Maka begitulah ekonomi moden -agaknya- semuanya tersangkut atas zhon -andaian- saja. Tapi barangan tetap mengalir dan bertukar tangan.

Aku pergi ke sarafah -pengurup wang, bukan safarah, itu kedutaan- untuk tukar duit. Untuk memudahkan, orang sarafah menggenapkan wang yang akan diberi dan meminta dari aku dua genih setengah. Aku bagi syiling dua genih. Kemudian orang sarafah bagi balik duit syiling aku dan kata, "Qeemah da nus genih, 3ashan adeem." Ini nilanya setengah genih -lima puluh sen- saja sebab buruk. Aku dalam hati kata apahal pulak, kalau aku pergi keluar dapat jugak beli barang harga segenih. Tapi tak terkeluar. Macam biasa, demi memudahkan urusan aku buat-buat tak faham dan orang sarafah pun ambil jugak syiling aku tu.

Dalam sarafah, duit takkan ada nilai sekejap.

Categories:

0 comments:

Post a Comment