Monday, July 6, 2015

Rendang Unta

Khutbah raya Masjid Hidayah masih berkisar tentang kekalahan Mesir 1-0 menentang Algeria dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia yang penuh kontroversi. Khatib menyebut walaupun Algeria menang dan Mesir kalah ia tetap tidak mengubah keadaan pembangunan insan kedua-dua negara. Khatib juga berkhutbah bahawa bola sepak tidak memberi impak pun dalam membangunan ummah.

Khatib menyeru bahawa jika bola sepak bakal menyebabkan persengketaan antara saudara muslimin lebih baik kita tinggalkan bola sepak jangan main lagi selain menyeru bahawa ukhuwwah Islamiyyah lebih penting dari segalanya (bola sepak).

Tahun ini solat di luar masjid kerana keluar lewat walaupun masjid sejengkal. Terpaksa menahan sejuk kerana musim sejuk (yang betul-betul sejuk) sudah bermula secara rasmi dengan turunnya hujan pada subuh raya yang diiringi guruh. Guruh yang menjadi fenomena jarang di sini membuatkan aku yang terlalu banyak menonton siri Lost terfikir apakah ada kapal terbang nak terhempas? Khabarnya ada juga makcik jiran yang terjerit takut atau terkejut lantaran jarangnya guruh.

Hari Raya Haji bererti sudah setahun berlalu persinggahan aku dan Tan di Yunani kerana kami beraya di atas kapal laut tahun kelmarin. Juga diingati ulangtahun pertama pembunuhan seorang remaja di tangan polis di kota Athens yang dihiasi lontaran bom petrol. Jadi menurut perkiraan kota Athens setiap tahun akan mengingati persinggahan kami ke situ.

Makan rendang dan kuah kacang di rumah Mede dan Iqbal yang masih rajin memasak walaupun dalam peperiksaan.

Categories:

0 comments:

Post a Comment