Mengadap Sultan Setambul XLII
Sampailah kami ke puncak di awal Istiklal Avenue. Di satu sudut nampak tram lama yang masih beroperasi. Ada pulak pakcik beruban putih berjalan pakai trench coat menambahkan aura antik. Tram laluan lima ini ialah tram lama yang dihidupkan kembali pada awal 90an menghubungkan antara Tunel dengan Taksim.
Adapun Tunel, ia adalah sistem keretapi bawah tanah yang kedua tertua di Eropah hanya selepas London Underground. Dibina mungkin sekali seiring dengan semangat Tanzimat yang baru dilancarkan. Ia menghubungkan kawasan Karakoy yang terletak pada paras laut dan Beyoglu yang terletak di atas bukit. Pembinaannya memudahkan 40 000 pekerja yang berulang alik dari Karakoy ke kediaman mereka di Beyoglu.
Menurut Orang Muar, antara sistem tram terawal di Malaya ialah di bandar Muar yang dibina seiring dengan pemodenan yang dibawa oleh Maharaja Abu Bakardan dipanggil Keretapi Kerajaan Muar. Baginda mempunyai special affection terhadap Muar dengan menjadikannya bandar diraja. Muar dimajukan sehingga menjadi bandar kedua terpenting selepas Johor Bharu.
Maharaja Abu Bakar berusaha memodenkan Johor dari segi pentadbiran dan ekonomi demi melengahkan penguasaan Inggeris ke atas Johor. Sampai hari ini, negeri Johor memilikinya tentera mereka sendiri yang dipanggil Timbalan Setia Negeri. Sesetengah orang Johor mendakwa negeri mereka tidak pernah dijajah British. Malah pada pertengahan kurun ke-19, Muar sendiri pernah menjadi sebuah entiti yang merdeka.
Selain banyak membuat hubungan dengan Ratu Victoria United Kingdom, baginda juga membuat hubungan dengan Sultan Abdulaziz dan Sultan Abdulhamit II Turki Osmaniyyah. Boleh rujuk Kitap Surat-surat Perempuan Johor.
0 comments:
Post a Comment