Wednesday, March 4, 2015

Reng



Gunung Reng menjadi tanda kepada kami. Waktu kecil-kecil, bila kami lalu dan nampak Gunung Reng kami menjerit, "Yay! Dah masuk Kelantan! Yay! Dah nak sampai!" Setiap kali balik kampung. Dan Abah bila memandu di kawasan ini akan mula menyanyi lagu nyayian Lobo, "Ring! Ring telephone rings~"

Menurut sumber Al-Arqam yang menerbitkan buku kanak-kanak berkaitan gunung ini kononnya nama gunung ini diambil daripada nama seorang alim yang tinggal di sekitarnya, bernama Karim. Menurut cerita kawasan gunung itu dulunya kampung dan orang-orang kampung ada membuat temasya lagha sehingga Tuhan menurunkan bala dengan menghempap kampung itu dengan seketul gunung.

Adapun tok alim Karim ada menasihati orang kampung tetapi dia diusir keluar kampung yang menjadi titik tolak kepada bala itu. Nama gunung itu datang dari nama tok alim Karim dalam sebutan orang Kelantan. Karim menjadi rim menjadi reng.

Kerana sumber itu daripada Al-Arqam, Abe Min menolaknya mentah-mentah.

Tapi rupa-rupanya sejarah ni memang dipakai. Baki lagi nama asalnya saja lain sedikit. Menurut sejarah terpakai, nama Reng diambil daripada tempat asal batu itu di hulu Sungai Reng, Perak. Adapun perjalanan dari Gunung Reng ke hulu Sungai Reng memakan masa tiga hari tiga malam. Datang sekarang, di hulusungai itu ada sebuah kolam berbentuk Gunung Reng.

Gunung Reng pun dikaitkan orang dengan puteri penuh mistik orang-orang Kelantan, Puteri Saadong. Pun kisah yang aku pernah dengar tentang puteri ini ialah berkaitan dengan Bukit Panau, Tanah Merah. Daripada sepupu aku dia berkata, kenapa Bukit Panau kelihatan senget?

Kononnya dulunya Puteri Saadong bertapa di situ. Setiap kali orang kampung mahu kenduri, mereka akan meminjam pinggan mangkuk tuan puteri. Tapi tiap-tiap kali pinjam pecah. Pinjam, pecah. Pinjam. Pecah. Akhirnya Puteri Saadong murka dan terus menyepak Bulit Panau. Arkian, sengetlah ia.

Gunung Reng turut mendapat perhatian Lonely Planet.
Reng juga bermaksud kudrat atau tenaga dalam dialek Kelantan.

Categories:

0 comments:

Post a Comment